Tahun 2018: Tahun Menawan!

January 09, 2019

Dah lebih seminggu Januari 2019 bermula. Bermakna tinggal lagi beberapa minggu sahaja sebelum majlis perkahwinan aku yang bakal berlangsung pada bulan Mac tahun ini. Semuanya berlalu begitu pantas. Tak pernah aku sangka aku bakal menamatkan zaman bujang tak lama lagi.

Banyak perkara yang terjadi tahun lepas. Bermula dengan episod duka lara, kembali ke Nilai untuk menamatkan pengajian semester terakhir, mencari kerja sementara di farmasi dan klinik, menghadapi peperiksaan akhir semester (akhir pengajian), menunggu keputusan peperiksaan, bertunang, dapat kerja tetap di tempat kerja sekarang dan bergraduasi. Semuanya berlalu begitu pantas dan mudah. Alhamdulillah untuk segala nikmat yang Tuhan berikan.

Bila meniti semula, aku bukanlah orang paling malang di dalam dunia ini. Aku pernah rasa sebegitu malang apabila tidak dapat bergraduasi pada tahun 2017 bersama teman-teman yang lain. Rasa dunia begitu kelam kerana berdepan dengan seksaan sementara yang tak pernah aku jangkakan akan terima sepanjang berada di alam pengajian tinggi. Namun di sisi lain, pengalaman kami berempat (aku dan tiga lagi rakan yang berada dalam situasi yang lama) merupakan pengalaman yang sangat mahal dan berharga. Once in a lifetime. Pengalaman yang cukup pahit tetapi manis. Menangis berbulan-bulan juga sebelum mampu menerima kenyataan dan meneruskan kehidupan.

Antara benda lain yang tidak aku jangka adalah mendapat kerja yang jauh lari dari bidang pengajian. Tujuh tahun belajar undang-undang tetapi bekerja dalam bidang pemasaran kesihatan. Banyak perkara baru yang aku belajar daripada doktor-doktor dan pembacaan, berpeluang mengikuti doktor-doktor ke kawasan pedalaman di sekitar Negeri Sembilan untuk memberikan rawatan percuma kepada golongan asnaf. Belajar tentang ilmu perubatan dan kesihatan secara tidak langsung, belajar ilmu pemasaran juga sesuatu yang menyeronokkan walaupun agak sukar kerana aku masih baru dalam bidang ini. Bak kata mat saleh: slowly, but surely, dude! Pelan-pelan kayuh.

Dan akhir sekali, episod bertunang yang aku tak jangka juga akan berlaku pada tahun lepas. Pelbagai episod yang kami hadapi sebelum-sebelum ini, apabila menjadi tunangan orang sejak 31 Ogos 2018 yang lalu, semestinya satu lagi pengalaman manis dalam hidup aku. Untuk beberapa bulan lagi, status kami bakal bertukar dan kami akan menjadi pasangan suami isteri. Moga dipermudahkan Tuhan. Amin..

Pendek kata, tahun 2018 merupakan tahun yang sungguh menawan. Aku berdoa kepada Tuhan agar sentiasa dipermudahkan urusan untuk mengharungi ranjau kehidupan.




You Might Also Like

0 comments