Tentang Pengalaman Buang Tahi Lalat

Orang kata tahi lalat di wajah menaikkan seri di muka. Mungkin sesetengah orang sukakan penaik seri itu, tapi aku berada dalam golongan yang tidak sukakan tahi lalat hidup di muka. Aku tidak kisah dengan tahi lalat mati, asalkan dia kekal di muka tanpa ada tumbesaran, aku boleh terima keadaan itu. Namun, tahi lalat aku semakin membesar apabila meningkatnya usia. Jadi, aku mengambil keputusan untuk membuang tahi lalat pada bulan Jun lalu. Sepanjang usiaku 25 tahun, tahi lalat itu semakin membesar dengan jayanya.

Sebelum itu, aku banyak survey di internet tentang lokasi rawatan dermatologi dan aestatik di sekitar Kota Bharu, Nilai dan Bangi. Namun, aku tidak pernah membaca sebarang reviu atau komen dan itu membuatkan aku jadi ragu-ragu dengan rawatan di situ. Aku teruskan lagi pencarian aku sehingga aku terbaca satu tulisan blog tentang laser mole removal di sini. Cuma blogpost ini bertarikh 17 September 2012 dan aku tidak pasti sama ada klinik itu masih wujud sehingga kini atau tidak. Menurut saudari Surina, beliau membuat rawatan laser di Poliklinik Medi-Kulit dan Surgeri Kepong dengan harga yang berpatutan.

Hasil carian Google. Hadapan klinik. Kredit gambar: blog ini 


Jadi, aku mulakan pencarian aku tentang Poliklinik Medi-Kulit ini sehingga aku menemukan website mereka dan page fb. Mereka agak aktif di facebook page kerana posting terakhir ketika itu agak baru juga. Aku, tanpa ragu-ragu terus sahaja menghantar mesej kepada mereka untuk mengetahui kadar harga yang ditawarkan.

Temujanji di klinik boleh dibuat melalui panggilan telefon. Nombor telefon mereka: 03-6257 5762

Kos bayaran

Jika tengok dari segi bayaran, aku rasa Poliklinik ini tidaklah semahal pusat aestetik yang lain. Aku pernah baca reviu, ada yang perlu membayar sehingga RM 400 untuk membuang satu tahi lalat sahaja. Aku terus membuat temujanji dengan klinik tersebut pada 26 Jun 2018, pukul 11 pagi.

26 Jun 2018 -- Memandangkan aku tinggal di kawasan Nilai, perjalanan ke Kepong mengambil masa kira-kira 1 jam lebih. Lokasinya aku waze sahaja: Poliklinik Medi-Kulit dan Surgeri Kepong, memang sampai betul-betul di hadapan klinik. Aku bertolak kira-kira pukul 10 pagi dan tiba hampir pukul 12 tengah hari. Aku turut mengajak kawan aku, Zati dan Farah untuk menemani aku ke klinik tersebut. Mereka sangat setia menunggu aku sehingga selesai urusan.

Suasana di dalam klinik

Suasana di dalam klinik

Setibanya di sana, aku mendaftarkan diri dan berjumpa dengan pakar aestetik. Doktor tersebut menerangkan tanda-tanda tahi lalat yang boleh menyebabkan kaser kulit. Tahi lalat aku tidaklah mempunyai petanda-petanda tersebut. Tujuan pembuangan tahi lalat ini lebih kepada kecantikan dan untuk menanamkan keyakinan yang lebih tinggi dalam diri aku. Doktor juga menerangkan yang rawatan ini mungkin mengambil masa yang agak lama sekiranya tahi lalat tersebut mempunyai akar yang dalam dan panjang. Doktor melihat saiz tahi lalat aku dan memberitahu harga. Saiz tahi lalat aku jatuh dalam kategori medium. Jadi caj yang dikenakan adalah sebanyak RM 190 (RM 50 -  consult, RM 50 - bius dan RM 90 untuk rawatan laser saiz medium). Doktor juga menerangkan tatacara penjagaan selepas rawatan laser dilakukan. Disebabkan tahi lalat aku betul-betul terletak di sebelah kiri di batang hidung dan aku juga memakai spek mata, doktor menasihati aku supaya elakkan memakai spek (sebab tahi lalat berada di kawasan pressure point) seketika untuk memastikan parut luka dapat sembuh sepenuhnya.

Throwback gambar 10 Jun 2018. Faham kan kenapa doktor kata tahi lalat aku berada di pressure point? Sebab bila pakai spek, tahi lalat tu akan terlindung dengan spek.

Selesai konsultasi bersama doktor, doktor menyuruh aku melangkah ke bilik rawatan. Aku baring di atas katil dan menutup mata. Doktor meneliti tahi lalat di muka dan membius tahi lalat tersebut. Tidaklah sakit mana apabila suntikan bius dikenakan di atas tahi lalat. Rasa seperti semut-semut kebas sahaja. Kemudian, aku terbau sesuatu yang hangit-hangit. Mungkin kerana tahi lalat tersebut sudah dikenakan cahaya laser dan menyebabkan tahi lalat dibuang dari kulit muka. Aku terdengar dokor berbincang dengan pembantunya bahawa tahi lalat aku agak dalam, tidak seperti yang dilihat dari saiz luarannya. Kira-kira 20 minit juga lah proses pembuangan tahi lalat dilakukan. Sesudah rawatan, doktor menyapukan krim antibiotik di kawasan tersebut dan memberikan aku cermin untuk meneliti keadaan kulit di muka aku. Pada mulanya, kawasan tersebut mempunyai luka yang agak dalam dan kelihatan darah keluar dari kawasan tersebut. Mereka meletakkan handiplas di muka aku untuk mengelakkan darah mengalir. Doktor menerangkan, akar tahi lalat aku agak dalam, jadi sekiranya perlu, akan ada sesi rawatan buat kali kedua. Aku membuat pembayaran di kaunter pembayaran dan diberikan dua jenis ubat iaitu krim antibiotik dan ubat surut bengkak. Pembantu klinik (akak) kemudiannya memberitahu aku tentang tatacara penjagaan yang perlu dilakukan. Menurut akak tersebut, 
  1. Luka rawatan laser tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan kering
  2. Perlu apply krim antibiotik yang dibekalkan oleh doktor dua kali sehari, dalam masa dua minggu
  3. Ubat surut bengkak yang dibekalkan juga mestilah dihabiskan supaya luka tersebut cepat pulih.
  4. Sekiranya memakai spek, spek tersebut mestilah tidak mengganggu luka tahi lalat tersebut. Jadi, adalah sangat digalakkan untuk tidak memakan spek mata. (Untuk poin yang ni, beberapa hari kemudiannya, aku pergi ke kedai spek untuk membuat contact lens. Ada masa nanti, aku tulis pasal pengalaman aku memakai contact lens)
  5. Tidak boleh menggaru kawasan luka walaupun akan tiba masa, kawasan tersebut akan menjadi sangat gatal
  6. Tidak menyentuh kawasan laser terlalu kerap



Gambar di atas adalah gambar beberapa minit dan beberapa jam selepas rawatan laser dilakukan.

Proses penyembuhan luka mengambil masa kira-kira dua ke tiga minggu. Jadi sepanjang tempoh tersebut, aku sangatlah rajin menyapu krim antibiotik dan makan ubat susut bengkak supaya luka aku dapat pulih dengan kadar segera. Aku turut menonton beberapa video di youtube dan membaca beberapa artikel di web untuk mengetahui cara-cara menjaga kulit selepas rawatan laser dilakukan. Ada yang mencadangkan untuk menyapu vaseline pada bahagian tersebut. Tetapi menurut pengalaman aku, vaseline tidak sesuai untuk disapu pada muka sekiranya luka masih lembap kerana akan menyebabkan luka lambat pulih. Seeloknya, sapukan sahaja krim antibiotik yang diberikan oleh doktor sehingga luka telah kering. Apabila luka betul-betul kering, barulah sapukan vaseline, bio-oil atau apa-apa sewaktu dengannya untuk memudarkan parut laser tersebut.

Krim antibiotik yang disapukan di muka setiap hari selama dua minggu. Tak pasti pula apa nama sebenar krim antibiotik tersebut.

Alhamdulillah, sudah lebih sebulan tanpa tahi lalat di wajah dan luka juga sudah sembuh sepenuhnya. Yang berbaki hanyalah parut laser di muka. Aku kena rajin usahakan supaya parut jerawat itu hilang pula lah sekarang ni. Tapi kalau dilihat dari jauh, parut tersebut tidaklah terlalu jelas.

Update: Gambar terkini (6 Ogos 2018). Parut semakin memudar, contact lens juga sudah pack yang kedua dan full ceramic crown teeth!


Sekian laporan saya! Dah lama aku pasang niat nak tulis pasal ni supaya dapat bantu orang yang dalam kekeliruan dan kebuntuan macam aku dulu-dulu. Sekarang baru ada masa nak menaip. Pukul 7.43 pm baru nak pulang dari kerja sebab tengah semangat nak menaip. Moga membantu!









Comments

  1. Hi awk, jadi total rawatan awk rm190 ye..ade rawatan susulan ke selepas tu??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi.. Yep total RM 190. Sepatutnya ada rawatan susulan untuk laser kali kedua sebab akar saya panjang. Tapi nampak macam okay dah, so saya tak pergi pun..

      Delete
  2. Hai awk...mcm mana keadaan parut sekarang?sy ada tahi lalat sama mcm awak...rasa mcm nk buat jugak la lps baca awak punya blog...tqq

    ReplyDelete

Post a Comment

Satu kata memberikan sejuta makna

Popular posts from this blog

Cabaran Pelajar Undang-Undang USIM

Khulasah di Tamhidi Syariah & Law