Sunday, May 8, 2016

Harapan Abah 02: Ikhlas Menyayangi

Abah selalu pesan, “abah harap akak kahwin dengan orang yang betul-betul sayangkan akak macam abah sayangkan akak. Abah tak minta lebih. Kalau dia sayang akak macam abah, abah jamin akak bahagia...”

Aku selalu terfikir, kenapa satu kriteria sahaja yang abah tetapkan sebagai syarat untuk bakal menantunya padahal banyak lagi kriteria lain yang bapa-bapa lain tetapkan seperti beragama, hormat orang tua, sudah stabil dan sebagainya. Pendek kata, untuk menjadi menantu abah, kriteria itu sangat senang.

Tapi semakin masa berlalu, aku mula faham definisi sayang itu terlalu subjektif. Kau tidak pernah tahu jika seseorang sebenarnya betul-betul mampu menyayangi kau sebagaimana ibu dan bapa kau sebab segalanya indah pada permulaan dan pada saat manis sahaja. Walhal, sayang sebenarnya memberi maksud yang lebih meluas. Bagaimana dia berdepan dengan kau saat kau mengadu padanya tentang masalah kau, saat kau dan dia menghadapi masalah, saat kau perlu bertoleransi dengannya, saat dia berhadapan dengan masalah dan segala-galanya. Pendek kata, cinta bukanlah sekadar ucapan semata-mata tanpa toleransi, komitmen dan perbuatan tetapi bagaimana kau bersama-sama ketika baik buruk peristiwa, yang boleh mengatasi ego kerana sayang, yang tidak hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan perasaan pasangannya. Cinta tu sendiri boleh hadir dan berakhir dengan sekelip mata, sama ada wujudnya orang ketiga, perbuatan yang serasa tidak dapat diterima malah tanpa alasan musabab yang kadang tak tercerna dek akal.

Lama-lama aku faham, lelaki yang kita sayang atau yang mengaku sayangkan kita sebenarnya memang tak pernah akan mampu sayangkan kita macam ayah kita sendiri. Beliau yang azan dan iqamatkan kita waktu lahir, yang bertungkus lumus mencari duit nak besarkan kita dan macam-macam lagi tanggungjawab yang digalas oleh seorang bapa. 

Aku pun meniti usia dewasa yang mana suatu hari nanti jika diizin Tuhan akan berkahwin dengan lelaki yang aku pun tidak tahu siapa, yang akan menjadi suami aku kelak. Kalaupun aku yakin yang dia mampu menyanyangi aku, aku pasti tidak sama dengan apa yang dicurahkan abah. Abah yang sering berkata, "kat jalan ni lah dulu abah riba akak masa tengah drive. Masa tu akak umur dua tahun sebab nangis tak nak duduk kat riba ibu..", abah yang ingat segala peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah kehidupan anaknya termasuklah pada ketika kali pertama aku baligh, abah yang sentiasa nasihatkan aku untuk rajin membuat kerja-kerja rumah untuk kesenangan masa akan datang, abah yang sentiasa ingatkan aku untuk memberi keutamaan kepada pelajaran dan juga abah yang sentiasa ingatkan aku untuk mencari seseorang yang mampu menyayangi aku seadanya. Tidak akan pernah sama dengan lelaki yang bakal aku kahwini satu ketika nanti..

Aku tahu tujuan hidup bukanlah untuk berkahwin semata dan mengembangkan zuriat tetapi lebih daripada itu. Dan tentang abah yang sudah lebih 20 tahun membesarkan aku, pada ketika dia akan melepaskan aku kelak ke tangan seorang lelaki, bukanlah tugas mudah baginya. Melihat anak gadis yang dahulunya didukung, diajar berjalan akan dipimpin oleh lelaki lain, bukanlah perkara enteng sebab beliau terlalu sayangkan aku dan bila beliau yakin lelaki itu akan menyayangi aku seperti adanya dia, aku yakin dia berani untuk lepaskan aku kepada lelaki tersebut.

Ternyata, kriteria "yang menyayangi akak macam abah" bukanlah satu kriteria yang mudah malah menjadi kriteria yang paling sukar untuk dituruti sebab dari kriteria itu, akan tumbuhlah kriteria lain seperti sabar, prihatin dan sebagainya.




No comments:

Post a Comment

Satu kata memberikan sejuta makna