Wednesday, October 14, 2015

Ulasan Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Bengkak mata menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Pertama kali membaca novel karya Buya Hamka ini pun sudah mampu menitiskan air mata. 

Cerita yang mengisahkan seorang pemuda yang bernama Zainuddin dari Makassar yang merantau ke negeri kelahiran arwah bapanya di Batipuh, Padang Panjang. Ibunya merupakan orang Bugis, manakala bapanya berketurunan Minang. Zainuddin telah jatuh hati dengan Hayati yang berdarah Minangkabau. Tetapi percintaan mereka dihalang gara-gara Zainuddin dikatakan anak orang terbuang lantaran ibu Zainuddin berdarah Bugis, maka keturunannya tidak diakui. Zainuddin diarah oleh Ketua Adat Minangkabau supaya keluar dari Batipuh dan kemudiannya dia berhijrah ke Padang Panjang untuk belajar agama. Sebelum meninggalkan Batipuh, Hayati berjanji dan bersumpah untuk sentiasa bersama dan mencintai Zainuddin selagi hayat dikandung badan. Zainuddin berpegang dengan janji Hayati, berserta azam dan semangat, dia memulakan hidupnya di Padang Panjang. Cerita ini dihiasi dengan utusan surat-menyurat antara Hayati dan Zainuddin. 

Babak pertama yang buat gua menangis. Ohmannn~

Konflik berlaku apabila Hayati ke Padang Panjang untuk melepaskan rindu terhadap Zainuddin. Dia bermalam di rumah sahabatnya, Khadijah dan Khadijah memaksa Hayati untuk berpakaian ala-ala moden di Pesta Pacuan Kuda. Hayati dan Zainuddin bertemu di Padang Panjang dalam acara lumba kuda dan alangkah terkejutnya Zainuddin dengan perubahan yang berlaku pada Hayati. Khadijah meyakinkan Hayati bahawa Zainuddin bukanlah yang terbaik buatnya kerana kedudukannya dalam masyarakat dan taraf hidup Zainuddin yang rendah. Abang Khadijah, Aziz jatuh hati dengan kecantikan dan kemanisan Hayati dan menghantar rombongan untuk meminang Hayati. Zainuddin juga melalui surat telah menghantar hasrat untuk meminang Hayati. Adat orang Minangkabau, segala keputusan hendaklah dibuat melalui mesyuarat dan mereka sebulat suara memilih Aziz untuk dijadikan suami Hayati kerana Aziz merupakan keturunan kenamaan dan mempunyai lebih banyak harta berbanding Zainuddin. Hayati juga tidak menghalang keputusan sebulat suara yang telah dibuat oleh mamaknya.

Maka, tinggallah Zainuddin dengan duka dan lara apabila orang yang dicintainya memungkiri janji mereka. Dia terlantar di katil selama dua bulan kerana patah hati yang tidak berkesudahan. Hayati suatu hari datang ke tempat Zainuddin menginap dengan pengharapan untuk menyembuhkan Zainuddin, tetapi saat Zainuddin terlihat jari jemari Hayati yang masih berinai, dia kaget serta trauma lantas menghalau Hayati supaya meninggalkan dirinya bersendirian.

Babak sedih kedua
Rapuh betul aku ni

Dek kerana patah hati, Bang Muluk mula memberikan kata-kata motivasi untuk Zainuddin melupakan perkara-perkara lalu dan memulakan hidup baru. Dia berhijrah ke Tanah Jawa dan mengembangkan sayapnya sebagai penulis yang terkenal dengan nama penanya "Z". Kemudian, Zainuddin ke Surabaya untuk menguruskan syarikat penerbitan buku, dan mengubah identitinya kepada Tuan Shabir. Hayati membaca novel "Teroesir" karangan Z dan terasa dekat dengan dirinya kerana kisah yang ditulis itu persis kisah hidupnya. Hayati yang tidak bahagia hidup di sisi Aziz yang kaki judi dan kaki botol masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri tetapi sedikitpun usaha dan tanggungjawabnya tidak dihargai Aziz. Mereka hidup dikelilingi hutang, dan Aziz memutuskan untuk berpindah ke Surabaya. Di sana, Hayati dan Aziz menghadiri malam persembahan teater yang disutradarai oleh Tuan Shabir dan mereka terkejut bila mendapat perkhabaran bahawa Tuan Shabir sebenarnya adalah Zainuddin yang sudah mengecap kejayaan. 

Kehidupan Hayati dan Aziz bertambah perit kerana sikap Aziz yang tidak berubah dan Aziz dengan tidak segannya meminta pertolongan Zainuddin untuk berteduh di rumahnya. Zainuddin membenarkan lantaran mengasihi kawannya dan orang kampungnya meskipun beliau pernah dilayan seburuk-buruknya oleh Aziz dan keluarga Hayati. Di sebalik kebaikan Zainuddin terhadap mereka, sebenarnya Zainuddin masih menyimpan dendam terhadap Hayati kerana memungkiri segala janji dan meninggalkannya terkapai-kapai keseorangan. Aziz pula selepas beberapa bulan menginap di rumah Zainuddin, meminta diri untuk meninggalkan rumah tersebut dan berhijrah ke Banyuwangi untuk mencari pekerjaan kerana berasa malu menumpang teduh di rumah Zainuddin. Aziz meninggalkan Hayati bersama Zainuddin dan berjanji akan kembali mengambil Hayati apabila kehidupannya mulai stabil.

Surat Aziz kepada Zainuddin dan Hayati -- 1

Surat Aziz kepada Zainuddin dan Hayati -- 2

Zainuddin melepaskan amarah kepada Hayati kerana mengkhianati janji

Setelah beberapa ketika Aziz meninggalkan rumah Zainuddin, tiba sepucuk surat daripadanya yang menyatakan hasrat untuk meminta Zainuddin menjaga Hayati, meminta maaf atas perlakuannya dan menyatakan yang beliau tidak akan kembali lagi. Tibanya surat itu kepada Hayati juga menandakan bahawa talak satu sudah dijatuhkan ke atas Hayati. Berita Aziz bunuh diri telah mendapat liputan di akhbar. Hayati meminta maaf kepada Zainuddin dan menyatakan kesediaannya untuk mengabdi diri kepada Zainuddin. Zainuddin yang masih menyimpan dendam kepada Hayati, menyuruh Hayati kembali ke kampung halaman menaiki kapal Belanda, Van Der Wijck dan mengirimkan juga wang untuk Hayati menyambung kehidupan di sana. Keputusan Aziz yang tetap menyebabkan Hayati berduka dan meninggalkan sepucuk surat kepada Zainuddin sebelum menaiki kapal. Dalam surat tersebut, Hayati menyatakan maafnya dan sekiranya dia mati, dia mati mengenangkan Zainuddin. 

Surat terakhir Hayati kepada Zainuddin

Pengakhiran kisah ini seperti boleh diduga. Zainuddin apabila mendapat perkhabaran tentang tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, bergegas ke hospital Jakarta menemui Hayati yang sudah tenat. Zainuddin sempat menemui Hayati dan menyatakan segala yang terpendam di hatinya sebelum Hayati menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pengakhiran yang sedih tetapi bahagia kerana mereka sempat bertemu sebelum masing-masing menutup mata. Dan tidak semestinya semua kisah cinta berakhir bersama. 

*****

Aku patut kasi amaran keras dengan diri aku supaya tidak menonton filem-filem seperti ini. Sebagai orang yang berpersonaliti biru, aku memang nangis jelah dari awal hingga akhir cerita. Terlalu berat kedua-dua kekasih ini melalui kisah hidup mereka. Zainuddin terlalu lemah untuk berhadapan dengan ujian cinta dan Hayati yang terlalu mengikut adat, tidak sedikit pun berjuang untuk cinta mereka. Hanya janji yang diungkap tetapi tiada usaha yang menyusul dan mengikut sahaja arus yang ditetapkan. 

Kisah ini juga mengkritik tentang adat yang menjadi halangan. Seperti tiada sebab yang kukuh masyarakat melayu yang berbeza keturunan tidak dapat menyambung kehidupan dan cita-citanya. Kisah ini berlatarbelakangkan masyarakat Minangkabau pada tahun 1930-an yang berpegang teguh kepada adat nenek moyang sehingga menyukarkan keadaan yang sepatutnya mudah. Kriteria yang dipilih oleh ahli keluarga Hayati untuk menentukan bakal suaminya bukanlah dilihat dari sudut akhlak mahupun agama, tetapi dipilih melalui pengaruh dan juga harta benda. Kita dapat lihat, walaupun latar belakang agama keluarga Hayati agak teguh, tetapi soal jodoh, materialistik masih lagi menjadi penanda aras. Malah, rasis budaya dan ukuran materialistik juga masih dapat dilihat sehingga kini. 

Add caption
Aku suka juga dengan peranan Bang Muluk yang setia dan sentiasa bersama Zainuddin ketika saat jatuh bangunnya. Tidak pernah gagal memberi pengharapan baru meskipun beliau tidak berpendidikan tinggi dan menjadi kutu kampung. Terlalu besar jasanya sehingga beliau merupakan tulang belakang Zainuddin sepanjang cerita. Kata-kata azimat beliau: Jangan biarkan hidup awak rosak binasa kerana perempuan itu. Lihat dunia dengan lebih luas. Masih ada banyak lagi kebahagiaan dan ketenangan di dalamnya. Cinta bukan mengajar kita menjadi lemah, sebaliknya ia membangkitkan kekuatan. Tunjukkan kepada perempuan itu yang awak takkan mati kerana dia. Ramai orang hebat kalah dalam percintaan, lantaran mereka mengambil jalan lain. Mereka maju kepada politik, menulis buku, mengarang syair dalam perjuangan hidup sehingga mereka duduk di tempat yang tinggi dan wanita perlu mendongak untuk memandang mereka dari bawah. Fuh! Ayat move on paling win, Bang Muluk!

Kisah cinta yang digarap oleh Buya Hamka, meskipun tidak sekuat kisah Hang Tuah dan Gusti Putri dalam Puteri Gunung Ledang, masih memberi nyawa dan mengkritik secara halus soal masyarakat yang terlalu berpegang kepada adat dan budaya. Walaupun berlatarbelakangkan tahun 1930-an, nampaknya masyarakat kita masih berada pada takuk yang sama biarpun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu. 

Harapan terakhir Zainuddin selepas menulis kisah Tenggelamnya Kapa Van Der Wijck
Supaya kemuliaan bangsa tercapai, penyatuaan tanah air, hilang kebenciaan dan perbedaan dan supaya keadilan dan bahagia tercapai

Dan kisah ini masih berterusan berlaku dalam kalangan kita. Terlalu ramai manusia yang kalah dalam percintaan, berhenti sekerat jalan dan putus pengharapan. Moga kisah ini menjadi sumber kekuatan untuk terus percaya dan maju dalam kehidupan. Kata Zainuddin lagi, "ini bukanlah kisah cinta antara Zainuddin dan Hayati, tetapi kisah kebangkitan sejati. Kisah manusia yang jatuh tetapi memilih untuk bangkit. Lalu dia jatuh lagi tapi memilih untuk terus  bangkit sekali lagi. Walaupun berkali-kali jatuh, Zainuddin pilih untuk terus hidup, bangkit dari kesedihannya. Kejatuhan kita bukan permulaan bagi kesedihan kita, sebaliknya permulaan bagi kebangkitan kita. Jangan sekali-kali biarkan sedih dan duka mengawal diri kita.." Pengakhiran kata yang sangat bagus. Gua rasa nak quote semua kata-kata dalam buku dan filem ini.


P/s: Bakal menonton teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya hari Ahad 18 Oktober 2015 ini. Aku syak aku bakal mengalami situasi yang sama ketika membaca buku dan menonton filem. Kena sediakan tisu sebekas!

2 comments:

  1. baru je beli bukunya.. x baca lagi.. ahahah..tak taw plak ade filem.. owh teater tu ada terbaca jugak.. selamat menonton!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alaaa.. pastu dah spoilt jalan cerita lah ni kira? haha. tapi buku lagi best dan lagi detail. hehe. terima kasih :)

      Delete

Satu kata memberikan sejuta makna