Friday, February 20, 2015

Perempuan Sulung

Mungkin bagi sesetengah daripada kita menganggap cuti adalah masa rehat yang paling sesuai. Bebas daripada segala kerja, boleh keluar melepak dan sebagainya. Bagi aku pula, mungkin aku bebas daripada bebanan kerja assignment, kerja event universiti (kadang-kadang lah sebab biasanya cuti aku akan dipotong sebab aku join macam-macam event anjuran universiti) dan aku boleh melepak kat rumah buat apa yang aku suka. Tapi aku rasa aku takdelah cuti sangat pun sebenarnya.

Rutin aku setiap kali cuti semester seperti boleh diagak. Kalau tahun-tahun sebelumnya (masa Iqa dan Amin sekolah rendah), setiap pagi, aku kena hantar mereka ke sekolah, kemas rumah, jemur baju. Petang; ambil mereka dari sekolah, beli barang-barang, kalau rajin - masak, angkat baju kat jemuran. Malam; kalau diperlukan, tolong mereka buat kerja sekolah, lipat baju dan tidur. Rutin tu akan berulang setiap hari. Kalau ada tetamu datang, iya, tenaga extra diperlukan. Tolong beli barang, memasak di dapur, basuh pinggan mangkuk dan kemas rumah. Tahun ini, rutinnya masih sama, cuma aku tak perlu hantar-jemput adik dari sekolah sebab dua-dua stay kat asrama.

Aku takdelah rajin sangat. Sumpah aku pemalas, nak-nak bahagian kemas rumah dan memasak. Tapi kalau bukan aku yang boleh diharap, siapa lagi? Nak-nak bila aku pegang title 'perempuan sulung' dalam keluarga.

Kadang-kadang, bila aku rebel, aku seperti mempersoalkan abah dan ibu tentang pembahagian kerja. Kenapa mesti aku yang diharap untuk buat semua dari jemur baju, beli barang, ambil adik-adik, memasak, jaga orang sakit sehingga kemas rumah? Ia seperti menjadi satu kesalahan sekiranya rumah masih bersepah, atau kain yang dibasuh tak dijemur, atau pinggan mangkuk tidak dibasuh, atau tiada lauk dimasak sebab aku seolah-olah tiada alasan untuk mengelak melakukan semua pekerjaan, walaupun abang dan adik aku sedang bercuti. 

Aku terfikir, sebab aku perempuan kah?
Tapi Iqa pun perempuan, takpe je kalau dia tak tolong kat dapur atau kemas rumah?

Atau sebab aku dah besar?
Tapi Along, Amir pun dah besar juga. Boleh diharap juga.

Mungkin tu semua kerja perempuan?
Aku tak pernah rasa jemur baju atau basuh pinggan dikategorikan sebagai kerja perempuan. Tu semua kerja unisex. Kalau itu pun dikira sebagai kerja perempuan, kenapa aku juga yang kena menguruskan bahagian pembelian barang atau jemput adik dari sekolah?

Mungkin sebab aku perempuan sulung dalam keluarga. Aku pernah rebel, tak mahu tolong, duduk berkurung dalam bilik tapi aku tak betah. Lastly, aku keluar bilik, tengok ibu kat dapur memasak seorang, aku tak sampai hati. Aku basuh pinggan mangkuk di dapur atau buat apa yang terdaya untuk tolong ibu atau abah.

Syukur sebab masih dikurniakan sekelumit tanggungjawab walaupun aku agak..hurm..letih dengan tugasan-tugasan di rumah. Walaupun bisingnya aku membebel kepada Amin dan Iqa sebab bilik bersepah, dan berkali-kali juga mereka tarik muka sebab kena marah, aku rasa hidup. Ya, suasana tu hidup. 

Entah.. 

Mungkin sebab tanggungjawab-tanggungjawab ni juga lah aku yang dilihat seperti yang paling mampu berdikari.

Aku agak terharu sebenarnya apabila mana-mana ahli keluargaku yang sakit dan orang seperti memberikan acknowledgement kepada aku. Ambil sahaja contoh bila Amin atau ibu masuk wad, sesiapa yang melawat mesti akan kata, "nasib baik Angah tengah cuti, boleh Angah jaga.." Sama jugak macam arwah Che dulu. Orang seperti tertunggu-tunggu waktu cuti aku sebab mahu memberikan privilege untuk aku jaga. Aku pun masih tak tahu sama ada mereka yang seolah melepaskan tanggungjawab atau aku yang seperti dilihat paling competent untuk tugasan tu. Tapi aku positif jelah yang mereka percaya dengan aku.

Sekarang, aku macam tak kisah. Kau bersusah-susah pun untuk keluarga kau jugak. Mana lagi nak cari ganti? Tapi dalam masa yang sama, kalau ada pertolongan daripada mana-mana pihak sepanjang buat kerja tu, amat-amatlah dihargai.



P/s: Aku merapu apa pun tak tau ni. Macam emo pun ada jugak. Padahal ni benda biasa sajaaa.





2 comments:

Satu kata memberikan sejuta makna