Friday, February 20, 2015

Perempuan Sulung

Mungkin bagi sesetengah daripada kita menganggap cuti adalah masa rehat yang paling sesuai. Bebas daripada segala kerja, boleh keluar melepak dan sebagainya. Bagi aku pula, mungkin aku bebas daripada bebanan kerja assignment, kerja event universiti (kadang-kadang lah sebab biasanya cuti aku akan dipotong sebab aku join macam-macam event anjuran universiti) dan aku boleh melepak kat rumah buat apa yang aku suka. Tapi aku rasa aku takdelah cuti sangat pun sebenarnya.

Rutin aku setiap kali cuti semester seperti boleh diagak. Kalau tahun-tahun sebelumnya (masa Iqa dan Amin sekolah rendah), setiap pagi, aku kena hantar mereka ke sekolah, kemas rumah, jemur baju. Petang; ambil mereka dari sekolah, beli barang-barang, kalau rajin - masak, angkat baju kat jemuran. Malam; kalau diperlukan, tolong mereka buat kerja sekolah, lipat baju dan tidur. Rutin tu akan berulang setiap hari. Kalau ada tetamu datang, iya, tenaga extra diperlukan. Tolong beli barang, memasak di dapur, basuh pinggan mangkuk dan kemas rumah. Tahun ini, rutinnya masih sama, cuma aku tak perlu hantar-jemput adik dari sekolah sebab dua-dua stay kat asrama.

Aku takdelah rajin sangat. Sumpah aku pemalas, nak-nak bahagian kemas rumah dan memasak. Tapi kalau bukan aku yang boleh diharap, siapa lagi? Nak-nak bila aku pegang title 'perempuan sulung' dalam keluarga.

Kadang-kadang, bila aku rebel, aku seperti mempersoalkan abah dan ibu tentang pembahagian kerja. Kenapa mesti aku yang diharap untuk buat semua dari jemur baju, beli barang, ambil adik-adik, memasak, jaga orang sakit sehingga kemas rumah? Ia seperti menjadi satu kesalahan sekiranya rumah masih bersepah, atau kain yang dibasuh tak dijemur, atau pinggan mangkuk tidak dibasuh, atau tiada lauk dimasak sebab aku seolah-olah tiada alasan untuk mengelak melakukan semua pekerjaan, walaupun abang dan adik aku sedang bercuti. 

Aku terfikir, sebab aku perempuan kah?
Tapi Iqa pun perempuan, takpe je kalau dia tak tolong kat dapur atau kemas rumah?

Atau sebab aku dah besar?
Tapi Along, Amir pun dah besar juga. Boleh diharap juga.

Mungkin tu semua kerja perempuan?
Aku tak pernah rasa jemur baju atau basuh pinggan dikategorikan sebagai kerja perempuan. Tu semua kerja unisex. Kalau itu pun dikira sebagai kerja perempuan, kenapa aku juga yang kena menguruskan bahagian pembelian barang atau jemput adik dari sekolah?

Mungkin sebab aku perempuan sulung dalam keluarga. Aku pernah rebel, tak mahu tolong, duduk berkurung dalam bilik tapi aku tak betah. Lastly, aku keluar bilik, tengok ibu kat dapur memasak seorang, aku tak sampai hati. Aku basuh pinggan mangkuk di dapur atau buat apa yang terdaya untuk tolong ibu atau abah.

Syukur sebab masih dikurniakan sekelumit tanggungjawab walaupun aku agak..hurm..letih dengan tugasan-tugasan di rumah. Walaupun bisingnya aku membebel kepada Amin dan Iqa sebab bilik bersepah, dan berkali-kali juga mereka tarik muka sebab kena marah, aku rasa hidup. Ya, suasana tu hidup. 

Entah.. 

Mungkin sebab tanggungjawab-tanggungjawab ni juga lah aku yang dilihat seperti yang paling mampu berdikari.

Aku agak terharu sebenarnya apabila mana-mana ahli keluargaku yang sakit dan orang seperti memberikan acknowledgement kepada aku. Ambil sahaja contoh bila Amin atau ibu masuk wad, sesiapa yang melawat mesti akan kata, "nasib baik Angah tengah cuti, boleh Angah jaga.." Sama jugak macam arwah Che dulu. Orang seperti tertunggu-tunggu waktu cuti aku sebab mahu memberikan privilege untuk aku jaga. Aku pun masih tak tahu sama ada mereka yang seolah melepaskan tanggungjawab atau aku yang seperti dilihat paling competent untuk tugasan tu. Tapi aku positif jelah yang mereka percaya dengan aku.

Sekarang, aku macam tak kisah. Kau bersusah-susah pun untuk keluarga kau jugak. Mana lagi nak cari ganti? Tapi dalam masa yang sama, kalau ada pertolongan daripada mana-mana pihak sepanjang buat kerja tu, amat-amatlah dihargai.



P/s: Aku merapu apa pun tak tau ni. Macam emo pun ada jugak. Padahal ni benda biasa sajaaa.





Saturday, February 7, 2015

Signifikasi Ole-Ole

Beberapa minggu lepas (20-24 Januari 2015), aku dan beberapa orang teman mengikuti lawatan akademik ke negara jiran, Indonesia. Kami ke Pekanbaru, Bukittinggi dan Padang. Trip 4 hari yang aku kira sangat penuh dan mengujakan. Ya, kalau dilihat dari segi kemodenan, Malaysia jauh lebih maju, tapi ada sesetengah nilai yang ada pada Indonesia yang agak mengagumkan aku. Antaranya tentang kehebatan mereka memelihara kultur mereka. Sangat jelas dapat dilihat dari segi seni bina, penggunaan bahasa Indonesia pada papan tanda dan pakaian mereka.

Boleh dikatakan, kami menempuhi perjalanan yang agak panjang dan jauh. Hari pertama, kami tiba di Pekanbaru. Hari kedua, kami ke Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim yang terletak di Pekanbaru, kemudian ke Bukittingi. Pekanbaru ke Bukittinggi memakan masa 6-7 jam perjalanan. Pada hari ketiga, kami berjalan di sekitar Bukittinggi (i.e. Puncak Lawang, Pasar Atas dan Lobang Jepang). Pada malamnya pula, aku bersama dua orang teman menikmati makanan di sekitar pekan di Bukittinggi dan menonton wayang 9D. Cubaan mengutip sebanyak mungkin pengalaman di Bukittinggi, aku kira berjaya kerana keesokannya (hari keempat) pula kami ke Padang, melawat Universitas Andalas.

Aku kira aku agak ralat kerana tak berbelanja di Bukittinggi. Macam-macam benda boleh yang boleh dibelanjakan di situ (kain sulam, telekung, t-shirt, key-chain dan sebagainya), tapi mungkin mengenangkan yang aku harus 'save budget' sebab ada lagi kembara ke Padang keesokan harinya, aku ambil keputusan untuk membeli yang seadanya sahaja. Tapi bila tiba di Padang, suasana teramatlah menghampakan. Tiada kelibat pasar raya mahupun bazar yang boleh shopping dan aku ada lagi 770 rupiah untuk dihabiskan untuk satu malam sebelum berangkat pulang pada 24 Januari. Mengenangkan aku harus pulang ke Malaysia dengan tangan kosong, aku keseorangan meredah hujan lebat (fefeeling cerita melayu, babak awek patah hati lah kot gamaknya), masuk kedai demi kedai sebab nak cari kain sulam dan pakaian untuk keluarga. Sudahnya 600 rupiah dihabiskan untuk pakaian dan 100 rupiah untuk kuih-muih. Perasaan ketika itu agak puas tetapi sedih sebab mengenangkan ada cenderahati yang aku nak hadiahkan kepada kawan tak dijual sekitar Padang, tapi terubat lah juga sebab kami singgah ke kedai kek, jadi boleh lah bagi walaupun agak tak seberapa.

Hari berikutnya, apabila tiba di KLIA 2, kami berbondong-bondong dengan bagasi dan kotak-kotak makanan. Tapi ada seorang kawan yang kelihatan sangat slumber dan tenang membawa beg pakaian dan beg galas. Sepanjang keberadaannya di Indonesia pun, dia jarang mengikuti kami membeli-belah. Duitnya banyak digunakan menikmati makanan dan jus-jus buahan di sana. 

Aku tanya dia, "kau tak beli apa-apa ke untuk member or family?" 

Dia menjawab, "Aku bawa balik tiga benda untuk aku. Satu, cenderahati sebab aku jadi panel forum. Dua, model rumah minangkabau. Tiga, buku yang beli kat UIN SUSKA. Aku bukan apa.. Ayah aku dah selalu sangat keluar, jadi aku tak tahu nak beli apa untuk family aku. Nak beli makanan pun.. makanan akan habis nanti. Bila habis, takdelah kenangan tu.." 

"So, untuk member pun takde beli apa-apa lah? Berapa ratus rupiah lagi ada ngan kau sekarang?" 

Dia membalas, "untuk member.. aku tak tahu nak beli apa. Bukannya ada apa-apa sangat pun. Kadang-kadang diorang pergi pun, bukannya ada beli apa-apa untuk kita.." 

Aku mengangguk tanda faham. Agak berbeza pendapatnya dengan pendapat aku. Aku sanggup meredah hujan untuk menghabiskan rupiah, tapi dia masih membawa pulang ratusan rupiah. 

Mungkin kehairanan dengan pertanyaan demi pertanyaan, dia bertanyakan kenapa. Aku, apabila dah diberi peluang menjawab, seakan memberikan syarahan kecil kepadanya (macam membebel pun ada). Aku menerangkan kepadanya, kadang-kadang benda yang dibelikan mungkin dilihat sangat kecil, tapi signifikasi ole-ole sebenarnya besar. Nak-nak apabila kita membelikannya tanpa sebarang unsur paksaan untuk orang-orang yang kita sayang. Aku setiap kali ke mana-mana, aku kira, aku tak pernah gagal untuk spend duit walaupun sedikit, belikan apa jua barangan untuk keluarga dan teman rapat. Hatta makanan sekalipun, bila kita belikan untuk mereka, tanda kita membawa ingatan mereka sampai ke sana, dan bila kita memberikan kepada mereka, tanda kita seolah memberikan tinggalan jejak kita kepada mereka. At least, itu apa yang aku rasa tentang ole-ole.

Dia seperti terkesima dan tersengih sahaja. Mungkin terasa seperti di-bob-kan oleh aku.

Walaubagaimanapun, semua itu adalah common sense masing-masing. Mungkin aku je kot yang sentimental terhadap sesetengah perkara kecil.





Tuesday, February 3, 2015

Perihal Gender-bias dan Toleransi

Menghadiri satu talk Transgender anjuran Sahabat Yadim USIM tahun lepas (rujuk poster), salah seorang panel, Dr. Nik Salida ada memberitahu tentang perbezaan antara istilah Gender dan Sex. Menurutnya, Gender adalah sifat Maskulin atau Feminin seseorang, manakala Sex pula adalah Male atau Female. Kebanyakan orang salah anggap tentang maksud dua istilah ini. Seseorang yang transgender adalah mereka yang mengalami kecelaruan identiti dan sampai satu masa mengambil keputusan untuk mengubah alat kelaminnya.

First poster berbayar aku. Alhamdulillah
Menurutnya juga, tidak salah sekiranya seseorang yang ber-sex-kan male tetapi ber-gender-kan feminin, dan tak menjadi kesalahan juga sekiranya seseorang yang ber-sex-kan female tetapi bergenderkan maskulin. Tetapi orang kita kebanyakannya melarang seseorang lelaki yang bekerja sebagai Mak Andam dan adakalanya orang menegah perempuan yang bekerja sebagai pemandu. Beliau memberi satu contoh mudah, sebenarnya kita dididik seawal usia laki tentang pembahagian tugas dan tanggungjawab untuk anak-anak lelaki dan perempuan. Jika dilihat di dalam buku-buku cerita kanak-kanak atau buku latihan sekolah rendah, sering sahaja dilukis sosok ibu sedang memasak di dapur atau mengemas rumah, anak perempuan bermain anak patung, bapa dan abang sedang menonton televisyen.

Aku bukanlah mahu berkata tentang gender-equality/gender-bias tetapi situasi ini terlalu sering dilihat sehingga dianggap sebagai norma untuk perempuan membuat kerja-kerja rumah, lelaki bekerja mencari rezeki. Sehingga sampai suatu sudut, perempuan dilihat lemah dan tak mampu untuk survive tanpa lelaki dan lelaki pula sering mengharapkan wanita untuk melakukan kerja-kerja rumah. Aku tak generalisasikan kenyataan aku, tapi aku kira rata-rata daripada kita memang begitu lebih-lebih lagi bila berbicara soal kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan mengurus pakaian. Perempuan Malaysia sekarang sangat terbuka soal kerjaya, rata-rata daripada mereka (terutama yang tinggal di kawasan urban, kebanyakannya mempunyai kerjaya), jadi soal wanita dilarang bekerja bukanlah isu utama dalam negara kita.

Mungkin isu yang berkaitan pembahagian kerja rumah adalah isu yang sangat picisan. Standard lah perempuan kena buat kerja rumah, masak, uruskan pakaian, kemas rumah, jaga anak semua. Standard lah lelaki kerja, buang sampah, beli barang, bayar bil, baca paper, tengok tv. Tak perlu dibangkitkan pun. Tapi aku rasa soal toleransi dalam rumah tangga adalah sangat penting. Kalau dah perempuan aje yang menguruskan rumah tangga, dalam masa yang sama bekerja (bagi yang bekerja), boleh jadi lelah juga.

Bukannya susah nak ringankan tangan menolong. Perempuan pula, kalau lelaki dah tolong, pandai-pandailah menghargai, yang duk complain semedang, kenapa?



Sunday, February 1, 2015

Perihal Ego

Kadang-kadang, aku terfikir kenapa sesetengah daripada kita terlalu diuji dengan perasaan bersalah yang menebal dan ada sesetengah yang lain asyik mahu tunding jari dan menyatakan semua adalah kesalahan orang lain.

Ini bukan soal iman siapa yang kuat atau lemah. Tak lain tak bukan, soal ego.

Tiada egokah mereka yang sering merasa bersalah dan tinggikah ego mereka yang menunding jari?

Makin aku fikir, makin susah untuk aku hadam perangai manusia.