Saturday, November 8, 2014

Ulasan Debat Polisi Universiti 2.0

Semalam (7 November 2014), berlangsungnya Debat Polisi Universiti buat kali kedua sempena PRK USIM. Kali pertama diadakan pada tahun lepas. InsyaAllah program ini akan menjadi program tahunan setiap kali menjelang PRK USIM. Program ini bertitik tolak daripada usaha SLC lepas (walaupun tahun lepas sumpah kurang gila audiens dan calon MPP yang turun padang dan melibatkan diri). Aku walaupun sudah bersara secara langsung dari SLC, tapi atas sebab teknikal, SLC baru menyatakan hajat dan meminta aku untuk memberi sumbangan dari segi poster hebahan. Maka, jadilah poster simple yang dihebahkan di FB dan hard copy poster yang diedarkan sekitar fakulti. Simple simple pun, aku rasa satu kepuasan. Mungkin sebab ni merupakan Debat Polisi Universiti Kedua dan aku dapat nilai perkembangan artwork setelah setahun.

Kiri: Poster pertama ever yang pernah aku hasilkan menggunakan Photoshop (masa ni tak reti LANGSUNG ilmu Ps)
Kanan: Perkembangan setelah setahun bersama SLC (gitu testimoni) Still banyak ilmu yang kena godek ni.

Ok, main focus adalah tentang debat polisi. Tentang poster nanti lah aku cerita di lain post. Gaya macam hebat sangat je nak claim-claim poster ni. Heh. Mohon jangan bash gua. Hewhew.

Debat Polisi semalam membawakan 3 agenda (seperti yang tertera di poster sebelah kanan). Pada pendapat aku, tajuk-tajuk yang dicadangkan itu adalah quite controversy. Seperti yang pelajar sedia maklum, banyak benda yang berlaku pada sesi lepas (sesi 2013/2014). Antara isu yang dibangkitkan oleh pelajar supaya MPP membawakan kepada pihak atasan adalah seperti berikut:
  • Isu 'kecurian' yang dilakukan oleh pihak Bendahari USIM berkenaan yuran pelajar (tanpa dimaklumkan kepada pelajar terlebih dahulu)
  • Isu yuran LSP yang timbul secara tiba-tiba. Para pelajar selama ini dimaklumkan program yang dianjurkan selama 3 sesi adalah free of charge, tetapi tiba-tiba timbul kecuaian daripada pihak Bendahari sehingga pelajar menjadi mangsa keadaan dan perlu membayar sejumlah amount kepada pihak Bendahari.
  • Isu bas. Tentang schedule perjalanan bas setiap hari dan kemucak apabila berlaku insiden bas terbabas pada 28 September 2014 di sekitar Ulu Yam berpunca daripada penyelenggaraan bas yang tidak berkala.
  • dan pelbagai lagi isu yang diketengahkan
Disebabkan isu-isu yang disebut di atas, maka pelajar mempersoalkan peranan MPP yang sepatutnya mendokong harapan pelajar, telah tersimpang. Maka, sesetengah pelajar mengambil jalan mudah dengan memboikot Pilihan Raya Kampus pada kali ini. Jadi, pendekatan yang dilakukan oleh SLC adalah dengan mengetengahkan calon-calon umum MPP untuk membuka mulut dan memberi respon terhadap tajuk-tajuk yang dicadangkan dan memberi peluang kepada audiens untuk menilai sama ada pandangan mereka berunsur realistik atau retorik semata.

#1. PRK 2014 - Hambar: Peranan MPP Malap?

Untuk sesi ini, moderator, Saudara Syamil memanggil semua calon umum (yang dapat menghadirkan diri) supaya memberikan pandangan mereka berkenaan peranan MPP malap ataupun tidak. Pada pendapat aku, calon-calon tidak menjawab isu ini seperti yang diharapkan. Sebahagian mereka menjawab hambar kerana beberapa faktor teknikal seperti:
  • Para pelajar tidak cakna tentang tarikh-tarikh seputar PRK (tarikh pendaftaran calon, penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi)
  • Masalah publisiti yang kurang berkenaan PRK kali ini
  • Masalah teknikal berkenaan tempoh berkempen. Sangat singkat sehingga menyukarkan mereka untuk mempromosikan diri dan sebagainya.
Dan ada juga sebahagian daripada calon yang menjawab, PRK kali ini tidak hambar disebabkan:
  • Ramai calon yang bertanding. Pada awalnya, hanya 10 calon umum yang mendaftarkan diri. Tetapi pada waktu-waktu akhir hari pendaftaran calon, seramai 13 calon umum yang telah mendaftarkan diri.
  • Malam penamaan calon menyaksikan DKP 3 penuh dengan audiens yang hadir bagi menyaksikan calon-calon yang bertanding memberi pidato dan memperkenalkan diri
  • Debat Polisi Universiti pada malam tadi juga mendapat sambutan yang menggalakkan -- tanda mahasiswa cakna dan memberi sokongan kepada calon-calon MPP.
Sedangkan, isu yang diketengahkan adalah berkenaan Peranan MPP sendiri. Untuk apakah MPP? Mengapa perlu ada MPP di setiap universti? Adakah MPP mampu untuk membawa suara pelajar atau hanya bekerja bagi pihak HEP? Tetapi hanya segelintir daripada mereka yang betul-betul menjawab persoalan ini.


#2. MPP: Jalan Konfrontasi atau Jalan Diplomasi?

Sesi ini agak kontroversi disebabkan tajuknya yang agak provokatif. Saudara Alim sebagai moderator memberikan analogi yang cukup menarik sebagai intro dan warm up berkenaan tajuk. Beliau berkata, "jalan konfrontasi umpama highway. Ekspres dan laju, kadang-kadang sahaja perlu berhenti di tol, manakala jalan diplomasi adalah seperti jalan lama. Banyak kereta dan kadang-kadang lori sehingga menyebabkan perjalanan menjadi perlahan.."

Aku kira saudara dan saudari panel telah mengambil jalan yang selamat. Kebanyakan mereka menyokong untuk memilih jalan diplomasi tetapi harus disertakan dengan desakan. Pelajar juga haruslah bersama-sama mereka untuk mendokong hasrat tersebut. Ada juga calon yang mempersoalkan, "sekiranya jalan konfrontasi yang dipilih, siapa sanggup untuk dibuang universiti bersama-sama?" Pertanyaan tersebut, pada hemat aku menampakkan jalan konfrontasi adalah satu dosa dan salah sama sekali sehingga boleh mengakibatkan pelajar dibuang. Betul kah?

Suasana debat dipanaskan lagi dengan seorang audien (Saudara Mustaqim) yang bangkit memberikan respon tentang maksud jalan konfrontasi adalah antara jalan penyelesaian yang bagus. Jalan diplomasi sudah lagi tidak mampu menyelesaikan masalah. Pendahuluan kepada soalan beliau yang panjang menyebabkan para panel seolah terprovok dan membuka mata mereka bahawa realiti tiadalah seindah fantasi. Aku suka soalan tu by the way.

Apa-apa pun, aku juga menyokong pandangan mereka tentang jalan diplomasi yang harus diutamakan terlebih dahulu sebelum dipanjangkan kepada jalan konfrontasi menilai kepada mudarat-mudarat yang mungkin berlaku.

#3. Intelektualisme/Aktivisme: Mana Patut Datang Dahulu?
Sesi yang dikendalikan oleh Saudara Kamil ini sedikit hambar. Pada pendapat aku, tajuk sudah agak menarik, namun mungkin disebabkan oleh faktor masa (ramai orang beransur pulang) dan juga jawapan para panel yang agak direct kurang memberansangkan kami. Kedua-dua calon MPP menyokong kepada intelektualisme harus datang dahulu sebelum aktivisme walaupun kedua-duanya adalah penting. Mungkin jawapan kepada pendefinisian harus dipertajamkan supaya kami yakin. Jawapan seperti "IQRA'" merupakan wahyu pertama sememangnya betul, tetapi hujah yang kurang menjadikan suasana agak kurang menarik.

Konklusi daripada Saudara Kamil bagi aku agak menarik. Beliau menyatakan, "ilmu itu umpama batang pokok, manakala dahan, ranting, daun dan buah adalah umpama aktivisme. Sekiranya aktivisme yang dititikberatkan tanpa ilmu, tiada apalah seseorang manusia itu.."

_________________

Konklusi keseluruhan yang aku dapat semalam adalah:
  • Mungkin sesetengah calon pandai berkata-kata, tetapi ada juga yang kurang menyerlah pada medan ini. Aku tidak mempersalahkan calon sekiranya mereka tidak dapat berpidato secara lantang kerana hakikat manusia itu berbeza. Mungkin skill itu akan dapat diasah dari semasa ke semasa.
  • Setiap calon harus mempersediakan diri mereka dengan isu-isu semasa dan cakna tentang apa yang berlaku.
  • Berkata-kata manis seperti yang dicanang orang pada malam penamaan calon dan malam perdebatan haruslah dibuktikan sekiranya mendapat amanat menjadi MPP kelak. Kebanyakan audiens memberikan harapan yang tinggi terhadap mereka dengan memperkatakan, "MPP adalah untuk pelajar, yang membawa isu pelajar, bukannya hanya bekerja untuk HEP"
  • MPP perlu matang dalam menangani kritikan pelajar. Tidak semestinya dikritik bermakna dibenci. Tidak perlu menjadi dismisif terhadap sesetengah isu tetapi mestilah bersikap terbuka.
  • MPP perlu menjawab persoalan pelajar berdasarkan fakta dan seharusnya bersikap realistik, bukan hanya retorik semata. Aku perasan autoriti ayat Quran dan hadis disertakan di dalam jawapan sahaja tidak cukup untuk meyakinkan para pelajar yang lain sekiranya tidak berlandaskan keadaan sebenar yang berlaku.
Dan aku rasa perlu digariskan sedikit penambahbaikan untuk pihak penganjur supaya debat ini akan lebih efisien pada masa akan datang. Pada pandangan aku, tiga topik untuk didiskusikan pada satu malam adalah terlalu banyak. Masa terhad yang diberikan untuk calon menjawab isu juga amat suntuk lantas menyebabkan ada perkara yang tertinggal dan persoalan isu tersebut tidak ditackle dengan jayanya.. Sekiranya perlu, jemput juga para calon MPP Fakulti untuk turun padang bagi memeriahkan acara ini. Moderator-moderator yang mengendalikan pada pendapat aku sudah berjaya kerana berjaya menimbulkan suasana provokasi dan membuka mata para calon dan audiens. Apa-apa pun, tahniah dan kudos kepada penganjur kerana penganjuran yang bersahaja dan selesa! Moga event seperti ini diteruskan lagi pada lain masa. Tahniah juga diucapkan kepada semua calon yang turun dan melibatkan diri anda dalam Debat Polisi Universiti ini!

Selamat maju jaya kepada para calon yang bertanding!
Selamat mengundi buat semua warga pelajar USIM!




P/s: Penulisan adalah pandangan picisan peribadi penulis. Terbuka kepada kritikan. Moga tidak menjadi isu yang havoc. Tiada tujuan mencaci pihak atasan USIM mahupun MPP, tetapi sekadar menyatakan senario yang berlaku di kampus. Kalau mahu consider aku keyboard warrior, pandai mengkrtik tapi tak mampu nak masuk bertanding, anggaplah jiwa aku kecil..



No comments:

Post a Comment

Satu kata memberikan sejuta makna